GEORGE TOWN – Bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR di Pulau Pinang bersikap ‘gentleman’ dan bersedia membantu kempen calon-calon baharu parti itu bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Malah, Penasihat PKR Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, bekas-bekas penyandang kerusi juga telah menyerahkan bilik gerakan serta jentera masing-masing kepada calon baharu yang telah ditetapkan oleh parti.
“Bekas penyandang PKR cukup gentleman, ini semangat yang ada di dalam PKR. Mereka (penyandang) akan turun sekali kempen, malah mereka telah tolong kumpul dana juga untuk calon baharu, mereka telah beri jentera, bagi orang-orang mereka juga kepada calon baharu.
“Mereka sebelum ini tidak tahu tidak dicalon, mereka telah buat kerja semua dan telah bersiap sedia, namun parti telah buat keputusan dan mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan calon baharu,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Keadilan di Bayan Baru, hari ini.
Turut hadir ialah bekas-bekas penyandang yang digugurkan daripada bertanding seperti Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Hussain.
PKR yang bertanding 13 kerusi DUN menggugurkan tujuh penyandang di Pulau Pinang daripada bertanding dalam PRN kali ini.
PKR turut menampilkan lapan muka baharu yang iaitu Zainuddin Mohd (Pinang Tunggal), Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar), Johari Kassim (Seberang Jaya), Rohsidi Hussin (Penanti), Norhidayah Che Ros (Sungai Bakap), Lee Boon Heung (Kebun Bunga), Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof Dr Mohd Abdul Hamid (Batu Maung).
Menurut Choo Kiang, dalam perjumpaan calon-calon baharu bersama bekas penyandang hari ini, kesemua bekas penyandang telah memberikan pandangan, rahsia kemenangan di DUN dan pengalaman masing-masing kepada calon baharu.
“Semua calon PKR mendapat sokongan padu daripada bekas penyandang parti, parti komponen dan parti PKR sendiri.
“Semua kita dapat melihat satu pasukan PKR turun dalam PRN kali ini bagi memastikan PKR menang di kerusi DUN yang ditandingi,” katanya.
Dalam pada itu, bekas penyandang DUN Pinang Tunggal, Ahmad Zakiyuddin berkata, beliau memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada semua calon-calon PKR termasuk calon baharu di DUN Pinang Tunggal.
“Saya akan berikan sokongan kepada calon PKR yang bertanding dan akan membantu memenangkan calon PKR pada PRN kali ini,” katanya.
Selain Ahmad Zakiyuddin, Abdul Halim turut menyatakan kesediaan beliau untuk membantu calon-calon baharu PKR menang dalam PRN kali ini. – KOSMO! ONLINE