PUTRAJAYA- Kementerian Kewangan menegaskan bahawa maklumat mengenai elaun madani yang akan ditawarkan kepada semua kakitangan awam adalah palsu.
Kementerian Kewangan membuat penegasan itu sebagai menangkis dakwaan satu poster palsu yang menjelaskan penjawat awam akan menerima bayaran minimum sebanyak RM800 menerusi elaun madani berkenaan.
Menerusi poster palsu itu yang turut memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, elaun sara hidup dan bayaran insentif wilayah yang dinikmati penjawat awam ketika ini akan dimansuhkan seterusnya digantikan dengan elaun madani.
Difahamkan, elaun madani itu bagi meraikan kesamarataan antara negeri di mana pembayaran minimun sebanyak RM800 akan diperkenalkan.
Susulan itu, Kementerian Kewangan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan berita palsu seperti itu.
“Ikuti saluran rasmi Kementerian Kewangan dan pastikan pautan adalah sah dan betul. Tidak pasti jangan kongsi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE