PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan hala tuju ekonomi negara yang dikenali sebagai ‘Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat’ esok.
Pengumuman tersebut dikongsikan Perdana Menteri di laman Facebook miliknya hari ini dengan menjelaskan dasar tersebut adalah hala tuju baharu kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang.
“Esok saya akan meluncurkan “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” yang merupakan pengemudian dan pengarahan baharu ekonomi untuk menjamin masa depan negara. Nantikan, Insya-Allah,” katanya.
Majlis tersebut akan diadakan pada pukul 9 pagi esok di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kuala Lumpur.
Terdahulu, ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebelum ini berkata, bank pusat itu mengekalkan unjuran untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.
Jelas beliau, permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan pasaran kerja kini semakin baik, seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna.
Pada 24 Februari lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan dengan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.
Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka. – KOSMO! ONLINE