fbpx

Perak bantu murid B40, M40 jaga gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAARANI (tiga dari kiri) melihat kita kit kesihatan pergigian murid dalam majlis yang diadakan di pejabatnya di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerajaan negeri Perak memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 bagi membantu 20,000 murid Tahun 1 di negeri itu meningkatkan kesedaran tentang penjagaan mulut dan gigi.

Menerusi usaha di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) itu, kegunaan dana tersebut adalah bagi menyediakan bekalan kit kesihatan pergigian untuk dimanfaatkan kepada murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lebih 20,000 murid daripada 120 buah sekolah bakal menerima kit kesihatan gigi berupa ubat dan berus gigi, cawan serta tuala yang akan diedarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mulai Ogos ini.

“Kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi oleh keluarga murid-murid khususnya di luar bandar dan berharap usaha yang dilaksanakan ini akan dapat memberikan kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan gigi,” katanya semasa majlis penyerahan kit berkenaan kepada PPD di sini hari ini.

Pemberian kit itu antara inisiatif TCS membantu kesejahteraan dan kesihatan murid yang merupakan satu daripada program Perak Sejahtera 2030 iaitu Perak Sihat Sejahtera.

Tambah Saarani, antara objektif pelaksanaan pemberian kit itu bertujuan nemperkasakan murid untuk bertanggungjawab terhadap kesihatan mulut serta kepentingan penjagaan gigi dari peringkat awal

“Objektif turut membantu murid-murid dalam kalangan B40 dan M40 mendapatkan penjagaan gigi yang berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI