NEW DELHI – Sekumpulan pencuri yang kecewa kerana tidak menemui apa-apa barangan berharga untuk dirompak di sebuah rumah warga emas di New Delhi, India, bertindak meninggalkan wang tunai sebanyak 500 rupee (RM27.22) di pintu pagar utama kediaman itu, lapor laman berita Indian Today kelmarin.
Polis yang tiba di rumah itu dikatakan menemui seorang lelaki berusia 80 tahun yang tinggal di situ.
Menurut M. Ramakrishna, yang merupakan pemilik rumah itu, dia dan isterinya telah pergi ke Gurugram pada pagi Rabu lalu dan apabila pulang, mereka melihat kunci pintu utama telah rosak. Namun, tiada apa yang hilang dari kediaman itu.
Bagaimanapun, mereka menemui wang kertas berjumlah 500 rupee di pintu pagar utama.
Warga emas itu memberitahu polis bahawa dia tidak menyimpan sebarang barang berharga di rumah.
Ramakrishna ialah seorang jurutera bersara dan berdasarkan aduannya, polis sedang memburu kumpulan perompah berkenaan, lapor agensi berita ANI. – Agensi