SEREMBAN – Seorang wanita yang merupakan pemilik kedai gajet didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan menjual pemain media tanpa wayar yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) pada Julai tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Ciah Mei Chi, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.
Berdasarkan pertuduhan pertama, OKS yang berniaga atas nama dan gaya sebuah syarikat telah ada dalam miliknya dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai label pemerakuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu lapan unit Wireless (tanpa wayar) Media Player jenama SVICLOUD Model M8S PRO W.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah ada dalam miliknya dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu seunit Wireless Media Player jenama SVICLOUD Model 3 Pro.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih tiga RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah hari di sebuah kedai di Jalan Besar, Lukut, Port Dickson pada 28 Julai 2022.
Terdahulu, peguam Jhaimal Singh Korotana yang mewakili OKS memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda sahaja dengan mengambil kira pengakuan bersalah wanita berkenaan dan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa SKMM Mai Zairani Zainal Abidin kemudian mencadangkan kepada mahkamah supaya mengambil kira kepentingan awam memandangkan penggunaan alat telekomunikasi tanpa perakuan mengganggu fungsi alat lain.
Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah supaya melucuthak pemain media tanpa wayar yang dirampas dan diserahkan kepada SKMM untuk dilupuskan.
Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM10,000 bagi pertuduhan pertama, jika gagal bayar, boleh dipenjara selama dua bulan.
Manakala OKS diarahkan membayar denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua, jika gagal bayar boleh dipenjara selama sebulan.- KOSMO! ONLINE