PETALING JAYA – Pengendali import dari Croatia, Bojan Hodak sah mencari ‘angin baharu’ selepas meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) berkuat kuasa serta-merta.
Hodak disahkan bakal membimbing kelab Indonesia, Persib Bandung untuk mengharungi kempen Liga 1 pada musim 2023/2024 nanti.
Kata Hodak, banyak kenangan manis yang dilalui bersama skuad Warga Kota sejak menjadi pengendali pasukan bermula tahun 2021.
“Saya tidak jangka dapat meraih pencapaian seperti ini apatah lagi dengan pasukan yang memiliki bajet yang kecil, pasukan yang kecil ini mencipta nama di pentas antarabangsa.
“Ini adalah memori yang hebat bersama KL City FC dan kejayaan mara ke tiga final berturut-turut, sudah tentu saya berbangga dengan apa yang sudah diraih bersama pasukan ini,” kata Hodak pada sidang media di Petaling Jaya pagi tadi.
Sebagai rekod, Hodak berjaya membawa KLC mara ke tiga final dalam tiga tahun berturut-turut sejak 2021.
Dia membimbing KL City FC menjulang Piala Malaysia 2021 sebelum menjadi naib juara Piala AFC 2022.
Terbaharu, KL City FC bergelar naib juara Piala FA 2023 selepas tewas 2-0 di tangan penyandang, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE