fbpx

Liga Fantasi Kosmo!: Pemenang utama bawa pulang tiket ke London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Akbar (kanan) dan Adri Razam bersama hadiah motosikal yang berjaya dimenangi pada Majlis Penyampaian Hadiah Liga Fantasi Kosmo! Musim 2022/2023 di Ibu Pejabat Media Mulia Sdn Bhd, di sini, hari ini. -Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH

PETALING JAYA – Pemenang-pemenang Liga Fantasi Kosmo! Musim 2022/2023 masing-masing mengukir senyum gembira apabila dapat membawa pulang pelbagai hadiah setelah bertungkus-lumus menjalani 38 minggu perlawanan.

Liga Fantasi Kosmo! kali ini menawarkan hadiah yang cukup lumayan iaitu dua hadiah utama berupa penerbangan ke London berserta tiket perlawanan bola sepak EPL, wang saku sebanyak RM2,000 dan kemudahan tempat tinggal selain dua buah motosikal, telefon bimbit, komputer gaming, basikal dan wang tunai kepada 12 pemenang bertuah.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan DRB Hicom, Mahmood Razak Bahman, ini merupakan kolaborasi pertama yang bakal membuka lebih banyak lagi peluang kerjasama pada masa akan datang.

“Dalam kolaborasi kali ini, kami menaja dua buah motorsikal iaitu Modenas Elegan dan Modenal Pulsar, masing-masing bernilai RM16,000 dan RM11,000.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk memberi pendedahan kepada DRB HICOM serta kelab kami kepada para pembaca Kosmo!,” katanya.

Menurut Pengarang Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan, Liga Fantasi Kosmo! kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan pembaca.

“Ini merupakan kali kedua Liga Fantasi dianjurkan. Tetapi, tahun ini kami lebih bertuah kerana mendapat tajaan daripada DRB Hicom dalam bentuk dua buah motosikal.

“Walaupun kali ini kami kenakan sedikit bayaran, sambutan masih lagi menggalakkan dan kami juga dapat melaksanakan liga ini dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.

Pemenang hadiah utama, Sidqi Kamil, 34, dari pasukan Abah Tasnim tidak menyangka dapat membawa pulang tiket penerbangan ke London dan bakal berpeluang untuk menonton pasukan kegemarannya, Manchester United.

“Saya sudah bermain Liga Fantasi selama 10 tahun. Tahun lepas saya memenangi tempat ke-4, tidak sangka tahun ini rezeki saya mendapat tempat pertama.

“Selalunya saya menghabiskan masa hujung minggu untuk fokus sepenuhnya pada permainan. Kadang-kadang, sampai isteri pun tanya apa yang saya sibukkan sangat pada waktu malam,” katanya.

Datang sebagai wakil kepada isterinya, Hana Amani, Hazree Azmir Riamira, 33, menganggap hadiah yang dimenangi kali ini merupakan rezeki dari Tuhan.

“Sebenarnya, kami berdua memang saling berbincang dan merancang strategi terbaik untuk memenangi pertandingan kali ini.

“Dari segi hadiah, kami akan berbincang terlebih dahulu. Namun, besar kemungkinan kami akan ke London bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI