fbpx

Kerajaan lulus cadangan naik taraf Klang berstatus bandaraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming meninjau tapak pameran program itu di Dewan Hamzah MPK, Klang, hari ini.

KLANG – Kerajaan mengumumkan bersetuju meluluskan cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada Majlis Bandaraya Klang yang bakal dimasyhurkan kelak.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kelulusan itu dipersetujui menerusi hasil Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Jelas beliau, penaiktarafan itu menunjukkan MPK memiliki kekuatan kewangan mampan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran cekap dan bertaraf antarabangsa selain meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat daerah ini.

“Saya yakin kelebihan naik taraf menjadi bandaraya akan menambah kemakmuran dan keselesaan yang dapat dinikmati ketika ini.

“Nama, logo dan tarikh pemasyhuran itu akan ditentukan kelak dan dimasyhurkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya pada sidang akhbar program Setulus Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Hamzah MPK di sini, hari ini.

MPK bakal menjadi bandaraya keempat di Selangor yang dinaik taraf kepada status bandaraya selain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengumumkan kementeriannya meluluskan permohonan MPK bagi 21 projek berjumlah RM5 juta.

“Peruntukan itu melibatkan masing-masing RM1 juta bagi menaiktaraf Pasar Pelabuhan Klang dan gerai serta menaiktaraf Jalan Goh Hock Huat atau Jalan Keretapi Lama yang dibina pada 1913.

“Selebihnya antaranya melibatkan naik taraf laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota, taman permainan di Bukit Tinggi, pembinaan tandas awam moden di Taman Awam Pangkalan Batu,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI