TUMPAT – Jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, Dungun semalam selamat dikebumikan dalam satu kubur sebentar tadi.
Jenazah Noreha Mohamed, 53 dan anaknya, Raja Nurhanani Nabila, 23, dan cucu, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail berusia dua bulan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.
Van jenazah yang membawa tiga beranak itu dari Hospital Hulu Terengganu tiba di pekarangan rumah keluarga mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini pada pukul 9.15 pagi.
Jenazah ketiga-tiga ahli keluarga itu kemudiannya disembahyangkan di ruang rumah tersebut sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Sementara itu ibu Noreha, Rahimah Mamat, 80, berkata, dia reda dengan pemergian anak, cucu dan cicit serentak.
“Allah SWT lebih menyayangi mereka. Sudah ajal mereka dan ujian berat buat keluarga kami kerana tiga nyawa Allah SWT ambil serentak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang wanita yang baru lepas berpantang bersama bayi lelakinya berusia dua bulan dan ibunya maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8, LPT 2 berhampiran Bukit Besi semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 petang itu, Nik Muhammad Zayyan Irfan dan neneknya, Noreha meninggal dunia akibat kecederaan pada beberapa bahagian badan dan kepala.
Ibu bayi tersebut, Raja Nurhanani Nabila, 23, pula meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu.
Kemalangan itu juga menyebabkan dua adik Raja Nurhanani Nabila iaitu Raja Haikal Najmi, 20, pemandu kereta dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, masing-masing patah kaki kanan dan patah bahu kiri.
Kemalangan itu juga menyebabkan dua adik Raja Nurhanani Nabila iaitu Raja Haikal Najmi, 20, yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Wira dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, masing-masing patah kaki kanan dan patah bahu kiri.
Keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah Raja Nurhanani Nabila di Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan, Pahang selepas habis berpantang di kampungnya di Kampung Semat Jal di sini. – KOSMO! ONLINE