SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long di negeri ini selepas menahan dua lelaki di Bandar Perda, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lalu.
Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang atau peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.
“Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikan kegiatan itu dibanteras habis-habisan. -KOSMO! ONLINE