fbpx

Bunuh jiran: Lelaki dihukum penjara 38 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Shaharudin (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh jirannya, tiga tahun lalu.

IPOH – Seorang lelaki warga emas terlepas hukuman gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 4 Mei 2020.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid, 77, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Abdul Wahab memberitahu, hukuman terhadap tertuduh diputuskan selepas mahkamah memberi pertimbangan ke atas penyataan impak mangsa, fakta-fakta kes, keterangan saksi-saksi dan faktor-faktor untuk memberatkan dan meringankan hukuman berlandaskan kepada prinsip undang-undang berkaitan hukuman.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 38 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada hukuman rotan dikenakan kerana tertuduh berusia melebihi 50 tahun.

“Semua barang-barang kes kecuali dokumen diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, M. Saravanan.

Sementara itu, suasana pada prosiding itu bertukar sayu apabila anak mangsa, Hawa Isa, 48, tampil dan memberikan penyataan impak daripada keluarga mangsa kepada hakim.

Menurut wanita itu, pembunuhan ibunya amat memberi kesan kepada mereka sekeluarga tambahan lagi kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI