fbpx

Azeem idam beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH menyaksikan Azeem dan Umar (kanan) menunjukkan cara memulakan larian di hadapan pelajar di SMK Putrajaya Presint 8 (1) semalam. – MSN

PUTRAJAYA – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi sedia melakukan sehabis baik untuk bersaing dengan pelari pecut dunia jika meraih tiket wild card bagi membuat penampilan sulung pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary bermula 19 hingga 27 Ogos depan.

Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu yang baru pulang daripada menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok baru-baru ini berkata, dia adalah atlet negara yang menghuni kedudukan tertinggi berdasarkan ranking terkini 100m, meskipun berada di kedudukan ke-90 secara keseluruhan dengan 1.186 mata.

Menurutnya, dia berharap sekiranya dapat beraksi di Budapest, ia akan dapat membantunya meningkatkan persediaan menjelang Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.

“Sekiranya saya dapat beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023, saya akan melakukan sehabis baik untuk bersaing dengan para pelari pecut dari negara-negara lain,” katanya selepas sesi meet & greet bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta pelari yang menjuarai 400m pada Sukan SEA Phnom Penh, Kemboja iaitu Umar Osman.

Tarikh tutup ditetapkan Olahraga Dunia bagi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyerahkan nama atlet beraksi pada kejohanan berprestij di Budapest itu pada 31 Julai ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara reben biru dengan catatan 10.09 saat (s) itu juga mengimpikan untuk berlari dalam lingkungan 10.15s dan ke bawah pada kejohanan tersebut.

Muhammad Azeem, yang juga pelajar di Universiti Auburn, Amerika Syarikat berkata, dia akan kembali ke negara Uncle Sam itu pada 31 Julai ini bagi menjalani persiapan rapi sebelum menyertai Kejohanan Olahraga Dunia.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dalam memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pelantikan jurulatih pada masa depan.

“Apa yang penting jurulatih perlu ada sijil, seorang yang bertauliah dan kenal pasti adakah laporan polis pernah dibuat ke atas jurulatih tersebut sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden gangguan sek­su­al membabitkan sukan dodgeball yang mangsanya melibatkan murid sekolah rendah baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI