MEMANG benar, menjalankan aktiviti lasak di persekitaran semula jadi adalah satu pengalaman yang diidamkan oleh para peminat dan penggiatnya terutama mendaki gunung serta penjelajahan hutan.
Menikmati pemandangan di puncak dengan hamparan gunung-ganang, menemui hidupan liar dan tinggalan warisan kebudayaan serta menikmati panorama hutan adalah satu pengalaman yang menarik.
Saban hari, bilangan para penggiat dan peminat aktiviti ini semakin bertambah berdasarkan kewujudan komuniti di media sosial seperti Facebook, Instagram mahupun TikTok.
Platform tersebut digunakan oleh para peminatnya untuk berkongsi pengalaman dan informasi berkaitan.
Ini menunjukan masyarakat di Malaysia bukan sahaja sedar akan keunikan dan tarikan sumber semula jadi, malah aktiviti itu juga dilihat mampu memberi manfaat kesihatan kepada para peminatnya.
Disebalik keterujaan menjalankan aktiviti lasak ini, beberapa insiden kerap dipaparkan di media massa seperti sesat dan kecederaan.
Insiden itu hampir menjadi perkara normal dalam kalangan masyarakat.
Ia menjadi lebih buruk apabila insiden itu menyebabkan kecederaan parah yang kadangkala membawa kepada kematian.
Perkara ini telah mengundang perdebatan dalam kalangan penggiat terutamanya berkenaan tahap ketersediaan mental dan fizikal ketika menjalankan aktiviti ini.
Saya terpanggil untuk menyumbang idea dan tip kepada para penggiat terutama kepada mereka yang baharu terlibat dalam aktiviti ini.
Ia sebagai persediaan sekiranya berlaku situasi yang tidak diduga pada ketika menjalankan aktiviti tersebut.
Pengalaman saya yang pernah berhadapan dengan situasi sesat adalah keadaan emosi yang pelbagai dan kecelaruan minda.
Dalam keadaan yang sukar itu, semestinya individu mahupun kumpulan perlu tenteram dan bertenang.
Pemerhatian kepada persekitaran adalah penting dan ia perlu dilihat sebagai satu kelebihan untuk menghadapi situasi cemas ini.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenal pasti ‘landmark’ atau mercu tanda yang paling ketara.
Ia boleh dikenal pasti dengan mata kasar untuk dijadikan sebagai penanda kawasan seperti pokok besar, pokok berbanir besar, bongkah batu besar atau sungai.
Ini penting untuk dijadikan panduan sekiranya kita berusaha untuk mencari jalan keluar atau memeriksa keselamatan kawasan.
Semestinya persekitaran hutan tropika di Malaysia mempunyai suasana persekitaran yang hampir sama.
Ia memberi cabaran besar kepada penggiat yang menghadapi situasi tersesat di dalam hutan.
Namun, ia dapat ditangani dengan menggunakan bantuan aplikasi pada peranti mudah alih.
Pada masa kini, terdapat banyak aplikasi di peranti mudah alih yang boleh dimuat turun secara percuma, malah ia boleh digunakan tanpa liputan talian internet.
Antara aplikasi yang boleh membantu dalam navigasi dan pandu arah adalah seperti kompas, peta dan Global Positioning System (GPS).
Selain itu, aplikasi untuk pengecaman spesies tumbuhan boleh membantu dalam meneruskan kelangsungan hidup sekiranya situasi sesat melibatkan tempoh beberapa hari.
Penting untuk memiliki aplikasi ini kerana ia akan membantu anda mengenal pasti kedudukan semasa, menentukan arah sepatunya dituju, mendapatkan makanan tidak beracun dan panduan merawat kecederaan.
Oleh demikian, antara keperluan asas dan penting untuk dimiliki oleh setiap individu yang berminat untuk menceburi aktiviti rekreasi lasak adalah aplikasi di peranti mudah alih.
Aplikasi berkenaan sebagai alat sokongan sekiranya berdepan situasi cemas ketika di dalam hutan.
Memiliki aplikasi di peranti mudah alih tetapi tidak diteroka perinciannya secara menyeluruh semestinya tidak memberi makna dan sia-sia.
Oleh demikian, cuba lakukan latihan kendiri di persekitaran yang selamat untuk memastikan anda terbiasa dengan aplikasi yang telah dimuat turun tersebut.