PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun padang dan meninjau sendiri keadaan jalan mendap di KM66.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Pertemuan bersama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia tersebut berlaku sekitar pukul 9.30 pagi tadi.
Semalam, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) di kedua-dua arah ditutup disebabkan kejadian tanah mendap berhampiran Plaza Tol Bentong.
Menurut kenyataan ANIH Berhad di laman Facebook, punca kejadian masih lagi disiasat dan pengguna digalakkan untik mengambil laluan alternatif.
“Semua pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur dari Kuantan, diarahkan keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di persimpangan Bentong Barat.
“Manakala, pengguna dari Kuala Lumpur yang ingin ke Kuantan akan dilencongkan ke persimpangan Central Spine Road (CSR).
“Pengguna dari Kuala Lumpur ke Gua Musang pula perlu keluar di persimpangan Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan CSR Bentong,” katanya di sini hari ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman Facebook, aliran trafik di sepanjang lebuh raya KLK dilaporkan terkawal. – KOSMO! ONLINE