ANKARA, Turkiye – Seorang wanita meninggal dunia selepas tergelincir dan jatuh dari sebuah tebing setinggi 32 meter ketika meraikan hari pertunangannya, lapor portal berita MailOnline semalam.
Yesim Demir, 39, sedang bercuti bersama tunangnya, Nizamettin Gursu di Polente Cape dekat bandar Canakkale, wilayah Marmara apabila kemalangan tragis itu berlaku.
Gursu baru sahaja melamar Demir dan mereka pergi ke tebing itu meraikan hari gembira tersebut dengan berkelah sambil melihat matahari terbenam pada 6 Julai lalu.
Apabila Gursu pergi ke kereta untuk mendapatkan bekalan perkelahan, dia tiba-tiba terdengar jeritan.
Selepas bergegas ke lokasi itu, dia melihat Demir jatuh dari tebing tersebut.
Mangsa meninggal dunia ketika cuba diselamatkan oleh petugas perubatan akibat kecederaannya tidak lama kemudian.
Pihak berkuasa segera menutup kawasan itu sementara siasatan dijalankan.
Lokasi itu dibuka semula kepada orang awam pada 15 Julai lalu. – Agensi