PETALING JAYA – Calon Barisan Nasional (BN) daripada Pemuda UMNO jika terpilih menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini perlu memenuhi Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang bakal ditetapkan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka akan diberikan KPI oleh Pemuda UMNO untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ‘Yang Berkhidmat’.
“Pemimpin yang dipilih mesti membawa suara rakyat,bukan hanya suara pemimpin atasan sahaja.
“Mana-mana yang tidak menepati KPI akan dipanggil dan diberikan amaran dan tindakan akan diambil dan saya amat tegas dalam perkara ini.
“Sebelum mahu kita digelar yang berhormat, perkara yang wajib adalah mesti menjadi yang berkhidmat terlebih dahulu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Muhamad Akmal menjelaskan, KPI itu akan dinilai secara berkala berdasarkan tinjauan sentimen rakyat tentang pencapaian perkhidmatan tanpa makluman awal kepada wakil rakyat terbabit.
BN yang kini bersama Kerajaan Perpaduan mengumumkan seramai 108 calon daripada parti itu bakal bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE