fbpx

Tiada konspirasi, tangkapan Sanusi dibuat berdasarkan kronologi – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (baju putih) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Selayang baru-baru ini. Foto oleh FARIZ ROSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa rancangan penangkapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dirancang sejak enam bulan lalu, dinafikan sekeras-kerasnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penangkapan yang dibuat pada 18 Julai itu adalah susulan kronologi siasatan dan laporan polis yang diterima sejak 12 Julai.

Ujarnya, pada 14 Julai juga polis menerima laporan daripada Dewan di-Raja Selangor berhubung Muhammad Sanusi yang menghina Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

“Penangkapan kita itu dibuat mengikut kronologi kes. Beliau (Muhammad Sanusi) buat kenyataan pada 11 Julai dan pada tarikh 12 Julai dan 14 Julai kita terima laporan polis.

“Susulan kronologi itu, kita buat tangkapan pada 18 Julai dan Muhammad Sanusi dituduh di mahkamah. Jadi tidak timbul isu pihak polis menjalankan siasatan enam bulan sebelum itu atau ada konspirasi lain.

“Tindakan dibuat susulan kenyataan yang dimuat naik iaitu menghina Institusi Diraja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera bagi Kejohanan World Police and Fire Games, di Ibu Pejabat Polis Polis, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi sebelum ini membuat dakwaan tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan rakannya, yang memberi amaran bahawa tindakan akan diambil susulan kritikan terbukanya terhadap pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu, tegas Ayob Khan, sempena bulan kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia khususnya orang politik perlu mengingat semula isi-isi Rukun Negara agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang masih lagi cenderung menghina Institusi Diraja ekoran banyak amaran telah dikeluarkan.

“Tindakan akan diambil tidak mengira latar belakang. Jangan buat-buat cerita lain apabila ditahan atau ditangkap. Berhati-hatilah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kertas siasatan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah dihantar pada 17 Julai kepada peguam negara.

“Kita hanya menjalankan siasatan dan sedang menunggu arahan. Apa-apa perkembangan kita akan maklumkan,” katanya. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI