PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang meneliti syor untuk menganugerahkan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan kepada wartawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit misi kemanusiaan dan bencana di luar negeri.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, buat masa ini, pingat itu diberikan kepada pasukan petugas keselamatan negara yang terbabit misi bencana di Turkiye pada Februari lalu.
“Kami ada menerima syor itu dan akan menelitinya kerana mereka (wartawan dan NGO) juga terbabit dalam misi-misi yang diluluskan oleh kerajaan.
“Sekiranya ada butiran dan maklumat lanjut mengenainya, kami akan maklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Turkiye, di sini hari ini.
Ujarnya, pihaknya juga akan mewartakan Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana sebagai Pingat Khas Persekutuan pada masa depan bagi mengiktiraf jasa petugas pasukan penyelamat yang terbabit misi bencana di luar negara.
Armizan berkata, pingat itu pertama kali diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota-anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.
“Pemberian pingat ini adalah satu pembaharuan dilakukan Kerajaan Perpaduan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 16 Februari lalu,” katanya.
Katanya, secara prinsipnya, pingat itu sudah dipersetujui untuk diwartakan dan kini sedang diteliti oleh bahagian istiadat (Istana Negara) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Jelasnya lagi, selepas diwartakan kelak, setiap petugas keselamatan yang ditugaskan bagi misi bencana akan menerima elaun harian sebanyak RM100 sehari.- KOSMO! ONLINE