fbpx

Talian internet terganggu gara-gara pencuri kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa penduduk menunjukkan kabel optik yang rosak akibat dicuri oleh pihak tak bertanggungjawab di Taman Semarak, Sungai Pasir, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Lebih 1,300 keluarga di Taman Semarak, Sungai Pasir di sini kecewa dan geram apabila kabel optik yang dipasang di kawasan itu sering menjadi sasaran pencuri hingga menjejaskan urusan kerja dan persekolahan anak yang bergantung kepada internet.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merugikan Telekom Malaysia (TM), malah menjejaskan pengguna yang memerlukan internet untuk melakukan pelbagai urusan harian.

Suhaimi Che Din, 40, berkata, kecurian kabel telah beberapa kali berlaku di sini dengan TM terpaksa membaiki kerosakan bagi memastikan penggunaan pengguna tidak terkesan dalam tempoh yang lama.

“Penduduk geram kerana masalah internet terganggu setiap kali berlaku kecurian,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi Muhammad Syazwan Jamaluddin, 34, pula, liputan internet yang baik sememangnya diperlukan untuk memudahkan urusan kerja dan harian mereka.

“Bukan itu sahaja, anak-anak yang bersekolah pun menggunakan perkhidmatan ini dalam proses pembelajaran mereka dan kecurian ini menyebabkan segala kerja tergendala.

“Kesannya akan turut dirasai oleh penduduk kerana perlu menjelaskan bayaran bulanan sedangkan perkhidmatan itu tidak dapat digunakan kerana kabel dicuri,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Radzi Shamsuddin, 66, berkata, kebiasaannya kegiatan curi kabel itu dilakukan oleh beberapa individu pada awal pagi ketika penduduk sedang tidur
atau pada hari hujan waktu malam.

“Pencuri sanggup memecahkan simen konkrit yang menutup lubang saluran kabel untuk memotongnya sebelum ditarik menggunakan kenderaan persendirian.

“Bagi mengelak penduduk rasa curiga, mereka turut meletakkan kon keselamatan dan mengenakan ves ketika melakukan aktiviti jahat itu,” katanya.

Tambahnya, penduduk taman perumahan itu bercadang untuk melakukan rondaan malam bagi mencegah kejadian kecurian itu daripada terus berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI