JEMPOL – Seorang suri rumah maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan termasuk sebuah lori di kilometer Jalan Bahau-Keratong, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Norhafizawati Che Noh, 36, beralamat di Muadzam Shah Pahang disahkan maut oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian manakala, empat anaknya berusia tiga hingga 14 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kemalangan berkenaan membabitkan lori jenis Toyota Dyna Hiace, Toyota Camry yang dipandu suri rumah berkenaan dan Proton Persona.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori yang memandu seorang diri dari arah Keratong menghala ke pekan Bahau manakala dua kenderaan lagi dari Bahau menghala ke Keratong. Setiba di tempat kejadian, ketika lori bergerak terus, tiba-tiba kereta jenis Toyota Camry telah masuk ke laluan bertentangan dan telah bertembung dengan lori. Akibat pelanggaran itu, Toyota Camry telah berpusing dan masuk ke laluannya semula.
“Manakala kereta Proton Persona yang berada di belakang Toyota Camry dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar disisi hadapan kanan dan akkibat daripada kemalangan itu, pemandu Toyota Camry telah mengalami kecederaan yang parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, pemandu lori iaitu lelaki berusia 34 tahun dan pemandu proton Persona iaitu perempuan berusia 24 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, mayat di bawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE