PENGANJURAN program amal sering dibuat oleh pelbagai pihak sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan juga syarikat sebagai salah satu cara menyumbang semula kepada masyarakat.
Justeru, sebagai salah satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) peringkat universiti, pelajar tahun akhir jurusan perhubungan awam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam baru-baru ini menganjurkan program berkonsep retro ‘Pasar Loka Klasik’ di Dewan Mawar Qaseh dan Dataran Mawar UiTM Shah Alam, Selangor.
Projek tahun akhir tersebut telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Prof. Madya. Dr. Abd. Rasid Abd Rahman, dan diketuai oleh Hazwien Aifa Hisham selaku Ketua
Projek dengan bimbingan pensyarah, Abuzar Abdul Halim.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Dr. Abdul Rasid Abdul Rahman menyifatkan bahawa penganjuran program berkenaan bukan sekadar untuk mengumpulkan dana, tetapi juga sebagai memberi kesedaran kepada pelajar UiTM Shah Alam terhadap kepentingan tanggungjawab sosial korporat di peringkat universiti.
Malah, pemilihan tema klasik atau vintaj bagi program itu juga adalah sebagai mengembalikan nostalgia terhadap barangan antik seperti kenderaan dan barangan hiasan.
“Program ini berkonsepkan klasik yang mana kini, kita dapat lihat bahawa biarpun zaman sudah kian berubah dan serba moden, namun konsep retro atau vintaj sebegini masih mendapat tempat dalam hati orang ramai, khususnya dalam kalangan generasi baharu,” katanya.
Selain itu, program tersebut turut memberi peluang kepada pemilik perniagaan kecil untuk mengembalikan semula rasa nostalgia terhadap barangan antik dengan memupuk penghargaan terhadap budaya tradisional Malaysia dalam kalangan pelajar-pelajar.
Program sehari itu menerima kunjungan sekitar 4,000 pengunjung.
Orang ramai yang hadir berpeluang melihat pertunjukan Vespa klasik, membeli-belah di gerai-gerai jualan pakaian lelaki dan wanita menerusi Projek Anak Jantan dan Projek Anak Gadis yang merakam kenangan manis di photo booth, aktiviti mewarna batik dan menyerlahkan kreativiti masing-masing, menyertai permainan tradisional yang mungkin sudah semakin dilupakan dan juga menyaksikan persembahan muzik klasik yang mengimbau kenangan.
Sebanyak 40 vendor jenama tempatan terlibat dalam program tersebut antaranya Kamelia Cosmetic, I Love Bundle, Lemari Lingkat, El Deeba, Silomak Mambau, Fruity Bakery Cafe dan Shalini’s Handmade Artistry.
Selepas acara tamat, hasil sumbangan diperoleh daripada aktiviti itu kemudiannya disumbangkan kepada sebuah sekolah tahfiz.
Sumbangan berupa wang tunai bernilai RM7,000 diserahkan kepada Maahad Tahfiz Teduhan Kasih yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.