fbpx

Prestasi UPNM di landasan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Mujahid (tengah) bergambar bersama 611 orang pelajar baharu selepas merasmikan Minggu Perkasa Jati Diri Program Asasi Pertahanan dan Diploma Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan Zulfaqar UPNM hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

SUNGAI BESI – Prestasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disifatkan berada di landasan terbaik selepas dilanda kontroversi ekoran kejadian buli yang berlaku pada tahun 2017.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof. Datuk Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berkata, UPNM kini berjaya mencapai tahap lima bintang setanding dengan universiti lain yang lebih senior.

“Dari segi pendidikan pun begitu, kita telah mencapai peningkatan penarafan untuk penyelidikan dan baru-baru ini kita mencapai empat bintang.

“Secara amnya, UPNM ketika ini berada di landasan yang tepat dan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Program Asasi Pertahanan dan Diploma Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan Zulfaqar, UPNM, di sini hari ini.

Pada masa sama, seramai 611 pelajar baharu mendaftar secara rasmi bagi Sesi Akademik 2023/2024 melafazkan bacaan ikrar diketuai pelajar Asasi Kejuruteraan UPNM, Ungku Iskandar Syah Ungku Shahrudin.

Ia terdiri daripada 503 pelajar Program Pengajian Asasi serta 108 pelajar Diploma melibatkan 505 lelaki dan 106 perempuan.

Mengulas mengenai kontroversi yang melanda UPNM pada tahun 2017, Ahmad Mujahid berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengelak kejadian berkenaan daripada berulang lagi.

Menurutnya, UPNM kini bekerjasama erat dengan rakan strategi iaitu Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang ditadbir urus di bawah Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memantau aktiviti pelajar.

“Walaupun di sini terdapat dua kategori pelajar iaitu awam yang diurus oleh UPNM manakala Pegawai Kadet dibawah Markas ATM, kita sering ambil maklum antara satu sama lain bagi membendung gejala buli dan sebagainya.

“Saya kira, ketika ini, perkara berkenaan sudah tiada ekoran tindakan tatatertib yang dikenakan adalah lebih berat dengan membuang pelajar yang terlibat,” ujarnya.

Pada 3 Jun 2017, seorang Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia di Hospital Serdang selepas mengalami kecederaan dipercayai didera dan dibuli.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan seramai enam tertuduh didapati bersalah di bawah seksyen 304 Kanun Keseksaan manakala 12 lagi didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI