fbpx

Presiden Filipina adakan lawatan sulung ke Malaysia hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bertemu Marcos Jr. semasa lawatan rasmi ke Filipina pada Mac lalu.

PUTRAJAYA – Presiden Republik Filipina, Ferdinand Marcos Jr. mengadakan lawatan rasmi sulung ke Malaysia bermula hari ini hingga 27 Julai 2023 sekali gus dilihat bakal mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kunjungan Marcos Jr. akan diiringi isterinya, Louise Araneta-Marcos selain disertai Setiausaha Kabinet, ahli politik serta pegawai kanan kerajaan Republik berkenaan.

“Marcos Jr. akan diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 26 Julai 2023.

“Selepas itu, Marcos Jr. dijadual mengadakan kunjungan menghadap kepada Al-Sultan Abdullah disusuli dengan satu majlis santapan negara bagi meraikan beliau dan delegasi,” katanya di sini tadi.

Pada masa sama, katanya, Marcos Jr. juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan.

“Ia bakal melibatkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Lawatan itu menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat serta negara ASEAN termasuk menerusi pertukaran lawatan tahap tertinggi seperti lawatan rasmi Perdana Menteri ke Manila pada Mac lalu,” jelasnya.

Pada tahun 2022, Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI