GOMBAK – Seorang penunggang motosikal maut setelah merempuh belakang sebuah van dalam kemalangan di Lebuh Utama Sri Gombak dari arah Sri Gombak menghala ke Pinggiran Batu Caves, di sini, semalam.
Dalam kejadian, kira-kira pukul 12.44 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 48 tahun tercampak akibat pelanggaran tersebut sebelum dilanggar oleh sebuah lori.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave melanggar belakang van jenis Nissan Urvan yang berhenti di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan di lorong kanan dan dilanggar oleh sebuah lori jenis tidak pasti.
“Pemandu van dan lori terus beredar dari lokasi kemalangan. Penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
Ujarnya, usaha untuk mengesan kenderaan yang terlibat masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Shaifuddin Mohd. Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya. – KOSMO! ONLINE