KOTA BHARU – Tindakan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini yang membuat laporan palsu kononnya disamun sekumpulan lelaki kerana enggan membayar denda kehilangan MyKad buat kali ketiga mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Pelajar lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Pasir Tumboh di sini itu dicekup semasa membuat laporan kira-kira pukul 5.58 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, lelaki itu dalam laporannya memaklumkan bahawa dia disamun secara berkawan oleh empat lelaki yang menunggang dua buah motosikal di Jalan Tengku Mohd. Maasum di sini.
Menurutnya, pelajar itu mendakwa, semasa menunggang motosikal di satu lorong di jalan tersebut, salah seorang suspek bertindak mengacukan pisau dan meminta agar menyerahkan beg silang yang sedang digalasnya.
“Selepas menjalankan siasatan, lelaki itu gagal memberikan keterangan yang konsisten berkenaan kejadian. Soal siasat lanjut kemudiannya mendapati pelajar itu memberikan keterangan palsu dan kejadian yang dilaporkan sebenarnya tidak wujud,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, lelaki tersebut kemudiannya mengaku dia membuat laporan palsu dengan memberi alasan bahawa MyKad miliknya sebelum ini sudah hilang sebanyak tiga kali.
Menurutnya, pelajar itu bertindak membuat laporan palsu untuk mengelakkan daripada dikenakan denda yang tinggi oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Tambahnya, lelaki berkenaan telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu dan memberikan maklumat palsu.
Dalam perkembangan sama, pelajar itu direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE