fbpx

Pekerja asing rampas rampas hak orang tempatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KEBERGANTUNGAN negara kepada pekerja asing bukan perdebatan baru, malah telah banyak kali dibincang dan dibahaskan.

Perihal ini bukanlah sesuatu yang tabu untuk terus diperkata pada waktu keberadaan ramai pekerja asing masih terlihat di mana-mana.

Sehinggakan terdapat kawasan perumahan kini didominasi komuniti warga asing. Begitu juga kawasan komersial.

Jumlah pekerja asing di Malaysia yang direkodkan setakat 32 Disember 2022 adalah 1,459,196. Itu tidak termasuk pendatang asing tanpa izin.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan pekerja asing membawa keluar wang negara RM34 bilion setahun.

Permintaaan terhadap tenaga kerja luar antara faktor utama menyumbang kepada kehadiran pekerja asing di negara ini.

Seorang peniaga kedai runcit mengaku, dia lebih senang menggajikan pekerja asing berbanding pekerja tempatan. “Susah nak dapat pekerja tempatan. Kalau ada pun sekejap dah berhenti,” katanya.

Begitu juga pengusaha pusat cuci kenderaan yang mengakui amat berpuas hati dengan tahap kerajinan pekerja asing.

“Mereka jarang merungut. Tak banyak ‘songeh’. Lagi banyak kerja, lagi mereka suka sebab dapat (upah) overtime.

Justeru, timbul persoalan benarkah tidak ramai rakyat Malaysia berminat atau kurang berkeupayaan bekerja di kedai runcit atau pusat cuci kenderaan.

Atau dalam definasi yang lebih meluas bagi merujuk perihal ini berkait sektor 3D iaitu pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar.

Penulis difahamkan ada pekerja asing berpengalaman mampu memperoleh gaji sekitar RM3,000 sebulan.

Terdapat pekerja asing mengambil upah melakukan kerja-kerja 3D di luar waktu bekerja untuk menambah pendapatan.

Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Zam, 32, berkata, bukan rakyat tempatan tidak gemar bekerja dalam sektor 3D.

Katanya, ramai rakyat Malaysia menyedari ada sebahagian kerja dalam sektor 3D menawarkan pendapatan yang baik.

“Pekerja asing datang dan pergi. Bagi mereka Malaysia cuma tempat cari duit. Kehidupan kita pula di sini selagi hayat di kandung badan. Jadi kita perlukan pekerjaan yang ada jaminan masa depan di sini.

“Sebahagian pekerjaan dalam sektor 3D bertaraf kontrak. Majikan tiada ‘job’, kita pun tiada kerja dan tiada kenaikan gaji.

“Sebab itu ramai rakyat Malaysia memilih ekonomi gig. Bukan bergaji tetap, tetapi mereka boleh mendapat wang selagi mampu bekerja,” ujarnya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berpandangan, majikan lebih mengutamakan pekerja asing kerana boleh dimanipulasi.

Kata beliau, jika diberi gaji yang munasabah dan progresif, pekerja tempatan akan melakukannya dengan syarat kontrak jangka masa panjang.

“Sebab itu berlaku buruh paksa dalam negara. Segelintir majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja asing.

“Bekerja dengan gaji rendah. Bayar lebih masa dengan rendah. Ada tak dibayar lebih masa. Masa bekerja yang lama berbanding dibenarkan akta.

“Kalau mereka layan pekerja asing dan tempatan sama rata barulah kita boleh lihat persaingan yang adil,” katanya.

Akhirnya, isu ini tidak akan ada kesudahan.

Ia suatu perkara yang masih terbuka luas untuk dibahaskan oleh sesiapa sahaja, tetapi untuk merungkainya tidak semudah A, B, C.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI