KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 pingat kejohanan disasarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Kejohanan World Police dan Fire Games 2023 di Winnipeg, Kanada yang bermula Jumaat ini hingga 6 Ogos depan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penyertaan PDRM pada kejohanan yang memasuki edisi penganjuran ke-15 itu terpaksa dihadkan kepada dua acara.
“Atas kekangan tugas khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN), penyertaan PDRM kali ini hanya membabitkan dua acara sukan iaitu badminton dan olahraga dengan kekuatan 20 atlet.
“Bagi edisi tahun ini, PDRM tidak mensasarkan untuk mengatasi jumlah pungutan pingat yang diperolehi pada tahun 2022 di Rotterdam, Amsterdam iaitu 125 pingat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, Ayob Khan menyerahkan bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023.
Hadir sama Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri yang dilantik sebagai Chef-de-Mission.
Ayob Khan berkata, seluruh warga pasukan menaruh harapan tinggi terhadap kontinjen PDRM untuk meraih kejayaan sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.
Kata beliau, pasukan kontinjen akan berangkat ke Kanada malam ini.
“Saya yakin segala persiapan fizikal dan mental serta latihan intensif yang dilalui oleh atlet sebelum ini mampu memberikan cabaran sengit kepada pesaing negara lain.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada barisan atlet dan pengurusan yang akan membawa PDRM ke pentas dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE