BENTONG – Kejadian mendapan tanah iaitu ‘sinkhole’ dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 66.1 arah Timur dan Barat Bentong, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), di sini, sebentar tadi.
Menurut laporan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Twitternya tadi, kejadian mendapan tanah itu telah menghalang lorong kiri dan kanan.
“Pengguna dinasihatkan untuk ambil susur keluar ke bandar Bentong,” ujarnya.
Jelasnya, trafik sesak di kedua-kedua arah susulan kenderaan tidak boleh melalui jalan raya itu.
Berikutan tanah mendap itu, semua kenderaan dari arah Kuantan diarahkan ke persimpangan pekan Bentong Timur dan masuk semula ke persimpangan pekan Bentong Barat.
Bagi kenderaan dari Kuala Lumpur pula diarahkan keluar ke persimpangan pekan Bentong Barat dan masuk semula ke persimpangan Pekan Bentong Timur.
Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan kenderaan.
Meninjau komen di ciapan terbabit, Kosmo! mendapati pengguna jalan raya mendakwa mereka terpaksa berpatah balik secara lawan arus akibat insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE