PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini bagi memperoleh kebenaran mencabar Tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis itu, dua tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai, Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan rumah kebajikan itu selaku perayu.
“Keputusan adalah sebulat suara. Terdapat merit dalam rayuan ini dan kami bersetuju bahawa isu tersebut perlu dibicarakan secara substantif. Kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi adalah dibenarkan,” kata Hakim Kamaludin ketika membacakan penghakiman ringkasnya.
Semasa prosiding, dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Bagaimanapun Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos selain menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.
Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, Rumah Bonda diwakili peguam, Asiah Abd. Jalil manakala responden-responden iaitu Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir.
Rumah Bonda memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 15 November 2021 yang menolak permohonan semakan tersebut selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC).
Terdahulu ketika berhujah, Asiah berkata, terdapat bahaya berat sebelah yang nyata dalam tindakan JKM mengenakan perintah Lak tersebut.
Ini kerana, menurut peguam itu, responden kedua yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merupakan individu sama yang membenarkan Lak dilakukan dan yang akan mendengar rayuan berhubung perintah sita itu.
Selain itu, pihak perayu dalam proses mendaftarkan Rumah Bonda sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh responden pertama dan kedua untuk tujuan pendaftaran telah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.
Tambah peguam itu, tindakan Lak itu juga dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes remaja Sindrom Down Bella tular di media sosial pada tahun 2021.
Sementara itu, Nur Idayu dalam hujahannya berkata perintah Lak itu dikeluarkan selepas JKM Wilayah Persekutuan berbincang dengan Putrajaya.
“Putrajaya yang dinyatakan tidak semestinya bermaksud Menteri sebaliknya ia boleh jadi ibu pejabat JKM di Putrajaya. Tiada bukti menunjukkan penglibatan secara aktif oleh responden kedua dalam membuat keputusan untuk menyita rumah kebajikan itu. Lak dikenakan terhadap Rumah Bonda selepas ia didapati tidak berdaftar dan beroperasi secara haram. Walaupun ia dalam proses mendaftar, ia tetap dikira tidak mempunyai lesen untuk beroperasi,” kata Nur Idayu.
Sebelum ini, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali telah disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan remaja Sindrom Down Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pada 13 Ogos 2021, pertubuhan itu menerusi Siti Bainun memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar perintah Lak tersebut.
Permohonan itu antaranya mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan responden pertama (JKM) pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan melaksanakan tindakan itu pada 12 Julai 2021 ke atas premis Rumah Bonda adalah dipengaruhi oleh desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan penderaan terhadap kanak-kanak tersebut yang tular mulai 5 Julai 2021.
Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan itu, sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.
Remaja itu sebaliknya merupakan anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021 kepada Siti Bainun atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).
Justeru Siti Bainun memohon suatu perintah deklarasi bahawa Rumah Bonda pada sepanjang masa material sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM dengan pengetahuan kedua-dua responden.
Pemohon juga memohon suatu perintah mandamus untuk mengarahkan kedua-dua responden melaksanakan serta-merta antaranya membuka lak terhadap rumah itu bagi membolehkan pemohon memasuki dan mengakses untuk menyambung semula proses dan prosedur yang berbaki dalam permohonan pendaftaran dengan JKM. – KOSMO! ONLINE