SEREMBAN – Penyelia Rancangan Tanah Felda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dan meminta suapan dengan menyeleweng wang bayaran kepada 25 peneroka tiga tahun lalu.
Tertuduh, Shahidi Ammar Abd Aziz, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Penyelia Rancangan Tanah (G19) iaitu selaku Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, telah menggunakan jawatannya berkaitan pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuk dirinya.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) kepada 14 peneroka Felda sama.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, Jelebu pada September dan Oktober 2020 dan tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban.
Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam kemudian merayu mahkamah supaya menetapkan jaminan yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Ogos depan untuk tertuduh melantik peguam. – KOSMO! ONLINE