JOHOR BAHRU – Calon muda yang dinamakan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri, bulan depan diingatkan jangan bongkak dan sentiasa menjaga etika sepanjang tempoh berkempen.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, calon yang terpilih perlu memikul tanggungjawab yang besar untuk memenangkan parti.
“Saya ada menghubungi beberapa calon muda yang akan bertanding nanti, saya ingatkan mereka supaya jaga etika dan perangai selain jangan sombong atau bongkak. Allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) ada menasihati saya bahawa jawatan ini hanya sementara, oleh itu amat penting untuk menjaga etika diri.
“Bagi yang tidak layak pula, jangan berkecil hati atau rasa ketinggalan dan ketua pemuda baru jangan ambil langkah pelik, ini adalah penyusunan strategik kepimpinan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers Sekolah Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO berpuas hati dengan tindakan parti yang memberikan kepercayaan kepada calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri, bulan depan.
Beliau berkata, ini adalah langkah awal proses merejuvenasikan parti seperti yang dirancang sebelum ini.
“Saya sempat mengadakan pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam (pengkebumian Datuk Seri Salahuddin Ayub) dan ucapkan terima kasih kerana beri kepercayaan kepada calon muda. – KOSMO! ONLINE