fbpx

Berkaraoke ‘pakej’ sekali GRO, pusat hiburan tak berlesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 84 warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO ditahan dalam serbuan di pusat hiburan karaoke di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah pusat hiburan karaoke di Bukit Bintang, di sini, yang menyediakan wanita pelayan pelanggan (GRO) akhirnya terbongkar apabila diserbu pihak polis, kelmarin.

Serbuan pada pukul 1.10 pagi itu dijalankan oleh sepasukan Unit Pencegahan Maksiat, Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan tersebut berjaya menahan seramai 84 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai GRO berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun.

Menurutnya, turut ditahan adalah sembilan warga tempatan yang bekerja sebagai pengurus, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan tersebut berusia lingkungan 31 hingga 45 tahun.

“Premis ini menyediakan 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula RM3,800 hingga RM25,000. GRO warga asing dan tempatan disediakan mengikut permintaan pelanggan dengan kadar yang ditetapkan.

“Mereka beroperasi pada pukul 8 malam sehingga pukul 6 pagi setiap hari dan tidak mempunyai sebarang lesen pusat hiburan yang sah.

“Lesen restoran atau kedai makan yang dikeluarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur disalahgunakan oleh pemilik premis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah Razarudin, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 22 GRO warga tempatan, 46 pekerja serta 336 pelanggan dan mendapati ujian air kencing enam orang pelanggan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Turut dirampas adalah resit, minuman keras, telefon bimbit, perakam video, modem, router, pembesar suara, amplifier, mikrofon dan wang tunai berjumlah RM13,862,” ujarnya.

Jelas Razarudin, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar semua pengusaha mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh penguatkuasa sekiranya ingin menjalankan peniagaan berbentuk hiburan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya masih terdapat pengusaha pusat hiburan yang menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO warga asing, persundalan dan penjualan atau penggunaan dadah di dalam premis.

“Pemantauan akan sentiasa dijalankan ke atas pusat-pusat hiburan bagi mengelakkan sebarang aktiviti terlarang berlaku dan ketenteraman awam dapat dipelihara dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI