fbpx

Bayi 11 bulan meninggal selepas dihantar ke pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH bayi 11 bulan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titian Bintangor, Alor Gajah, Melaka, malam tadi. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan didakwa tersedak susu ketika dijaga pengasuhnya sebelum disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, semalam.

Menurut ibu mangsa dikenali sebagai Zaidah, 35, dia menghantar anak sulungnya itu ke rumah pengasuh di Ayer Molek kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepadanya pada pukul 11 pagi.

“Saya biasa hantar anak pukul 7.30 pagi dan ambilnya pada pukul 5 petang, semalam tiba-tiba pukul 11 pagi pengasuh hubungi beritahu anak saya sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri mungkin akibat tersedak susu.

“Saya memintanya membawa anak ke Klinik Kesihatan berhampiran kerana khuatir saya lambat sampai ke rumahnya susulan saya kerja di Sungai Udang, manakala suami pula di Pulau Gadong,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Lubok China, di sini, lewat malam tadi.

Jelasnya, bayinya itu bagaimanapun dimaklumkan pengasuh telah dibawa oleh pasukan kesihatan ke Hospital Melaka untuk diberikan rawatan.

“Saya terus ke Hospital Melaka dan diberitahu anak telah meninggal dunia, namun punca kematian masih belum diketahui susulan laporan bedah siasat sedang dilengkapkan.

“Saya hantar anaknya ke pengasuh berkenaan sejak hujung tahun lalu selepas diperkenalkan rakan,” ujarnya.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali memberitahu, meskipun dia dan isteri masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun keluarganya reda dengan kehilangan tersebut.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa, tak mahu menyalahkan mana-mana pihak, apa-apa pun kita tunggu sahajalah keputusan bedah siasat dan siasatan pihak polis,” katanya ringkas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian tersebut dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI