PADANG BESAR – Polis mematahkan cubaan ahli Geng Bang Sun dan Along Lubuk menyeludup migran ke negara ini dari Thailand dalam dua serbuan berasingan di sini dan Wang Kelian, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan kereta jenis Honda Civic, Proton Persona dan sebuah motosikal jenis EX5 di Jalan Kubang Menerong, Titi Tinggi di sini pada Jumaat lalu.
Katanya, pemeriksaan mendapati kereta Honda Civic itu dipandu seorang lelaki tempatan dan terdapat seorang lelaki warga asing di dalam but kereta.
“Pemeriksaan ke atas kereta Proton Persona pula membawa kepada penemuan lapan lelaki warga asing di tempat duduk hadapan dan belakang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu Honda Civic berusia 41 tahun terbabit dipercayai terlibat dengan Geng Bang Sun selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala lapan lelaki warga asing berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002.
“Pemandu Proton Persona sempat meloloskan diri, namun kita telah dapat kenal pasti identitinya dan siasatan sedang dijalankan,” ujarnya.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan tikus dan mengenakan bayaran RM7,000 bagi seorang warga asing yang dibawa masuk.
“Ketua yang membawa mereka juga akan dibayar RM200 untuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI),” jelasnya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Shokri berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama dua lelaki dan enam wanita warga asing menerusi Ops Pintas Kayang di kawasan semak berhampiran kawasan View Point, Wang Kelian pada Ahad lalu.
Katanya, hasil soal siasat dilakukan, pihaknya melakukan tangkapan susulan keesokan harinya melibatkan dua suspek warga tempatan di sebuah inap desa sekitar Padang Besar. – KOSMO! ONLINE