fbpx

4 sindiket tumpas, wanita jadi penghantar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (lima kiri) menunjukkan pistol dan dadah dirampas pada sidang akhbar itu. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan empat sindiket termasuk pemprosesan dadah menjadikan lima wanita sebagai transporter sejak setahun lalu tumpas menerusi tujuh serbuan berasingan sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Operasi dilakukan selama lima hari bermula 17 Julai lalu itu merampas pelbagai dadah dianggarkan RM7.94 juta selain merampas sepucuk pistol jenis revolver.

Selain lima wanita tersebut, turut ditahan adalah 11 lelaki yang kesemua berusia 18 hingga 61 tahun di sekitar Seri Kembangan, Kota Damansara, Putra Height, Jinjang dan Rawang dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan mendapati keempat-empat sindiket ini telah beroperasi sejak setahun lalu dengan memperoleh dadah dari negara jiran.

Katanya, modus operandi mereka adalah menjadikan pangsapuri dan rumah teres sebagai markas utama mereka.

“Satu daripada sindiket tersebut bertindak memproses dadah terutama jenis heroin manakala tiga lagi sindiket memfokuskan kepada pengedaran. Lima wanita yang merupakan ahli sindiket itu berperanan sebagai penghantar dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau menjelaskan, kesemua sindiket itu menjadikan Lembah Klang sebagai pasaran utama mereka.

Tambah Hussein, antara dadah dirampas termasuk heroin, heroin base, syabu, ganja, pil eremin 5, kafien dan ketamin dengan berat keseluruhan dianggarkan 177.75 kilogram serta peralatan dan bahan kimia memproses dadah.

“Dadah tersebut boleh digunakan lebih 2.8 juta penagih sekiranya terlepas dalam pasaran dan kita turut merampas 12 buah kenderaan termasuk jenis BMW dan Toyota Alphad selain barangan kemas, tiga utas jam tangan dan wang tunai bernilai keseluruhan lebih RM1.24 juta,” jelasnya.

Kata beliau, semakan turut mendapati tujuh daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Hasil ujian kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Siasatan masih dijalankan sama ada pistol yang dirampas itu ada kaitan dengan kongsi gelap atau kegunaan sindiket sendiri.

“Mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI