SHAH ALAM – Seramai 10,000 umat Islam disasarkan menyertai Program Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati di sini, Sabtu ini.
Program anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) secara percuma itu dijadualkan bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.
Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, penganjuran edisi kedua itu merupakan kesinambungan program sulung yang mendapat sambutan menggalakkan pada 14 Januari lalu.
Kata Isteri Menteri Besar Selangor itu, objektif utama pihaknya bertujuan menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, memohon keberkatan Allah dan menghindar daripada perkara memudaratkan rakyat negeri ini.
“Edisi kedua itu akan dihadiri ulama dan pendakwah terkenal luar dan dalam negara seperti Sheikh Abu Zaki, Sheikh Ashraf Hamed Hassanin, Sheikh Abdullah Jahaf, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Babul Mustofa.
“Selain berselawat dan zikir munajat, pelbagai program menarik disediakan antaranya Gema Haflah Al-Quran, Qasidah dan Mahalul Qiyam serta Tausiyah,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seksyen 7 di sini, hari ini.
Masdiana memberitahu, edisi bertemakan ‘Bernafas dalam Hawqalah, Fakir Ila Allah’ itu menyaksikan penambahan beberapa program lain antaranya Himpunan Pendekar Nusantara, program khas muslimat selain pertandingan hafazan dan seni khat. – KOSMO! ONLINE