GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini, dari Perai menghala ke pulau pagi tadi.
Mangsa berusia 64 tahun sebelum itu meninggalkan sebuah kereta jenis Honda City, kad pengenalan dan lesen memandu di atas jambatan berkenaan.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.21 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai kemudiannya bergegas ke lokasi berkenaan.
“Pihak kami menerima maklumat awal daripada pihak polis yang mengatakan terdapat seorang mangsa telah terjun ke dalam laut dan dihanyutkan arus.
“Kerja-kerja pemantauan dan penyelamatan sedang dijalankan dengan dibantu pihak polis di lokasi kejadian,” katanya di sini.
Sehingga pagi ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE