PETALING JAYA – Hasrat pengacara juga pelakon, Uyaina Arshad untuk menimang anak kedua tidak kesampaian apabila mengalami keguguran anak kedua sekitar Mei lalu.
Berkongsi perkara tersebut, Uyaina, 30, bagaimanapun reda dengan takdir Tuhan dan menerima kehilangan tersebut dengan berlapang dada.
“Alhamdullilah Allah SWT beri rezeki untuk mengandung buat kali kedua. Gembiranya tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Syukur.
“Tetapi sayang, kandungan tak lama kerana keguguran. Walaupun sebentar, tetap syukur sebab Allah sempat pinjamkan kebahagiaan itu,” kata pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu.
Sementara itu, Uyaina turut menitipkan penghargaan dan kesyukuran sempena ulang tahun kelahiran suami yang juga penyanyi, Raja Syahiran.
“Hari ini ialah ulang tahun kelahiran suamiku, saya bersyukur kerana melalui perjalanan (rumah tangga) ini dengan awak.
“Terima kasih sebab sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk saya dan Urhan.
“Semoga Allah kurniakan kita rezeki, saling menyayangi dan berkasih sayang hingga ke syurga,” ujar hos program Wanita Hari Ini itu.
Uyaina dan Syahiran mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Raja Urhan. – KOSMO! ONLINE