KUALA SELANGOR – Isu aksi jelik The 1975 di Good Vibes Festival tidak akan berlaku sekiranya permohonan membuat persembahan oleh kumpulan itu ditolak sepenuhnya sebelum ini.
Tegas Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan sepatutnya menolak lebih awal kumpulan seumpama itu yang mempromosikan budaya golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Kata beliau, perkara itu tidak boleh dipandang secara sambil lewa dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Ia boleh merosakkan keharmonian kerana ada kumpulan tidak bersetuju dan ada yang bersetuju.
“Namun, yang penting apabila ada kumpulan promosikan LGBT, sepatutnya sejak hari pertama sudah tolak permohonan dan tidak timbul apa yang berlaku ketika ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Jumaat lalu, persembahan The 1975 di Litar Antarabangsa Sepang itu dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat selain didakwa membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil memaklumkan penyertaan The 1975 pada awalnya ditolak Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) namun penganjur dan pengurus kumpulan itu memohon rayuan berserta aku janji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert mereka. – KOSMO! ONLINE