PETALING JAYA – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jasa Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepadanya akan sentiasa dikenang.
Menurut beliau, Salahuddin semasa hayatnya tidak perlu dihubungi untuk meminta bantuan, sebaliknya Salahuddin yang akan menelefonnya terlebih dahulu menawarkan bantuan.
“Tak perlu dicari, dialah yang mencari kita dahulu. Sangat luar biasa orangnya. Berehatlah dengan tenang wahai sahabat. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam.
Beliau meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pendarahan otak dan ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.
Syed Saddiq yang kini Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pernah berada dalam Kabinet yang sama dengan Salahuddin dibawah kerajaan Pakatan Harapan. – KOSMO! ONLINE