KEBELAKANGAN ini, beberapa artis tanah air seperti Neelofa dan Wany Hasrita selamat melahirkan cahaya mata masing-masing.
Berita gembira tersebut menjadi tumpuan lebih-lebih lagi apabila pengacara Next To Neelofa itu melahirkan putera keduanya yang diberi nama Abdullah Abbas.
Hal tersebut berbeza ketika ketika Neelofa melahirkan anak pertamanya apabila dia banyak merahsiakan tentang bayinya sehingga benar-benar bersedia untuk ditunjukkan kepada umum.
Justeru itu, ramai yang teruja untuk mengetahui nama anak kedua isteri kepada PU Riz itu sehingga ada yang meneka dengan nama Imam untuk samakan dengan Bilal (anak pertamanya).
Namun, bukan itu yang menjadi tumpuan. Apa yang lebih menarik adalah cara artis-artis itu berkongsi nama anak selepas hari ketujuh dilahirkan.
Pasti ada antara generasi Z yang tidak mengetahui mengapa sebenarnya cara tersebut dilaksanakan.
Maka, analisis kali ini akan mengupas sejarah di sebalik perkongsian nama anak selepas hari ketujuh dilahirkan walaupun rata-rata orang zaman ini tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, perkongsian nama anak selepas hari ketujuh adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Perkongsian nama anak seperti yang dilakukan oleh sebahagian artis itu memang menepati sunnah Nabi SAW dan para sahabat.
“Agama Islam menggalakkan umatnya melakukan aqiqah iaitu amalan menyembelih kambing atau kibasy dan dibuat kenduri dengan menjemput adik-beradik, jiran tetangga dan sahabat.
“Tujuannya adalah untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kelahiran bayi kurniaan-Nya di dalam keluarga tertentu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain mengadakan aqiqah bagi tujuan melahirkan rasa syukur atas kurniaan Tuhan, Wan Salim juga menyatakan bahawa kenduri penting untuk mengeratkan silaturrahim sesama manusia.
“Amalan baik ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan mesra dan kasih sayang antara keluarga bayi dengan mereka yang turut meraikan majlis tersebut.
“Ibu bapa si bayi atau penjaganya perlu mengambil peluang pada hari kenduri ini untuk memasyhurkan nama bayi berkenaan kepada para hadirin.
“Kenduri aqiqah ini sunat dilakukan pada hari ketujuh, ke-14 atau ke-21 selepas kelahiran bayi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wan Salim menasihatkan ibu bapa agar meletakkan nama anak yang mempunyai maksud baik.
“Ibu bapa atau waris disarankan supaya memilih nama yang mempunyai maksud yang baik untuk anak-anak.
“Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Daud daripada Abi ad-Darda’ yang maksudnya, Rasulullah SAW bersabda “Bahawa kamu akan diseru pada hari qiyamah dengan nama kamu dan nama bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu,” tuturnya.