fbpx

Sirim hasilkan plastik biodegradasi sisa minyak sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sabirin (kiri) dan Presiden Fujimori Kogyo, Eishi Fuyama (dua kiri) mendengar penerangan mengenai operasi sebuah mesin pada majlis di pejabat SIRIM Calibration, Shah Alam hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

SHAH ALAM – SIRIM Berhad (Sirim) akan menghasilkan produk berasaskan plastik biodegradasi daripada sisa minyak sayur terpakai bagi mengurangkan pembuangan sisa tersebut di negara ini.

Penghasilan itu akan dilakukan dengan kerjasama syarikat Jepun, Fujimori Kogyo Co. Ltd (Fujimori Kogyo) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dijangka hujung tahun ini adalah untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, insiatif tersebut diambil susulan dianggarkan kira-kira 500,000 tan sisa minyak tersebut dibuang setiap tahun di negara ini.

“Produk berasaskan plastik biodegradasi daripada sisa minyak yang akan dibuat SIRIM ini adalah yang pertama di negara ini dan mungkin di Asia Tenggara.

“Jadi, kita lihat ia boleh mewujudkan satu kekayaan baharu dalam negara ini kerana Jepun misalnya memang menggunakan produk jenis itu,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Sirim Bioplastik di pejabat Sirim Calibration di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama pihaknya dengan Fujimori Kogyo dan USM adalah dari segi penyelidikan sisa minyak, penghasilan serta pemasaran produk di dalam dan luar negara.

Kata Ahmad Sabirin, Sirim merancang untuk menggunakan prasarananya di Sepang sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan produk tersebut yang dijangka memulakan operasi pada hujung tahun ini.

“Selain memasarkan produk di Jepun, Fujimori Kogyo melaburkan kira-kira RM20 juta untuk projek ini kerana syarikat ini nampak projek ini boleh menghasilkan pendapatan untuk mereka.

“Kami jangka produk ini dijangka berada di pasaran tempatan seawal hujung tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin menjelaskan, Sirim akan memohon status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengiktiraf bahan yang digunakan untuk keseluruhan penghasilan produk itu.

“Justeru, pengguna di kalangan umat Islam akan merasa lebih yakin untuk membeli produk tersebut apabila ia berada di pasaran tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI