JAKARTA – Sepasang suami isteri di Bekasi, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian netizen kerana mempunyai perbezaan usia sebanyak 34 tahun, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Berdasarkan klip video di laman TikTok, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 1 Julai lalu itu dilihat mempamerkan kad pernikahan mereka, menunjukkan si isteri lahir pada 2004, manakala suaminya dilahirkan pada 1970.
Menurut Pebriyanti Hardiansyah, 19, suaminya iaitu Nurhadi, 53, pada awalnya merupakan sahabat bapanya.
Katanya, dia pertama kali bertemu Nurhadi ketika berusia lima atau enam tahun di mana ketika itu, suaminya telah pun berumah tangga.
“Dahulu, dia kerap datang ke rumah bersama isterinya. Namun, perkenalan kami hanya setakat itu kerana dia ialah rakan baik bapa saya,” ujarnya.
Tambah Pebriyanti, ketika berusia 19 tahun, dia sekeluarga mendapat tahu bahawa isteri Nurhadi telah meninggal dunia selepas mereka bertemu kembali.
“Disebabkan saya seorang yang ceria, rasa mesra itu mula timbul hingga akhirnya saya mula tertarik kepadanya,” jelasnya.
Hubungan mereka akhirnya berubah menjadi pasangan kekasih sehingga Nurhadi bertindak melamar Pebriyanti pada 1 Mei lalu dan berkahwin pada 1 Julai.
Kisah pasangan tersebut menjadi perhatian netizen dengan ramai memberikan pendapat masing-masing.
“Kalau saya, mungkin seumur hidup orang sangkakan dia ialah bapa saya,” kata seorang netizen.
“Suaminya sebaya bapa saya, si isteri pula sebaya adik saya,” kata pengguna lain. – Agensi