fbpx

Peruntukan tambahan naik taraf fasiliti kesihatan Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai projek naik taraf HSM daripada pengurus projek tersebut, hari ini.

LANGKAWI – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan sejumlah RM200,000 sebagai peruntukan tambahan bagi menaik taraf fasiliti kesihatan di pulau peranginan ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan itu melibatkan mesin bilirubinometer bagi pemeriksaan paras bilirubin bayi menghidap jaundis (penyakit kuning) di Pulau Tuba, dekat sini yang bernilai kira-kira RM50,000.

“Dari sudut penjimatan kos, mereka ini kalau sakit jaundis terpaksa ke pulau besar dengan ada pemeriksaan susulan setiap beberapa hari sekali, kita kena tengok paras bilirubin.

“Jadi mereka minta kalau misalnya dapat mesin untuk ukur tahap bilirubin tu di Pulau Tuba sendiri sebab itu akan menjimatkan masa, yang keduanya mengurangkan kos perjalanan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, hari ini.

Kata beliau, kementeriannya juga akan melakukan latihan kepada petugas kesihatan untuk menggunakan peralatan tersebut bagi membantu pesakit di Pulau Tuba.

Selain itu, peruntukan akan digunakan bagi menaik taraf sistem pintu magnetik dewan bersalin dan dewan bedah selain peti sejuk khas bagi menyimpan bahan reagen yang semakin bertambah di Unit Patologi HSM.

Beliau memberitahu, satu unit peralatan system 8 cordless driver stryker juga akan ditambah kepada unit sedia ada yang dijangka dapat mengatasi masalah tunggakan kerja dan waktu menunggu pembedahan dijalankan.

Dr. Zaliha turut menyatakan, kerja-kerja naik taraf HSM sudah mencapai 19 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Tambahnya, kerja-kerja tersebut mengalami kelewatan sebanyak empat peratus, namun dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengisi kekurangan doktor yang dipindahkan kerana mendapat lantikan tetap di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Apabila ada doktor-doktor yang dikeluarkan daripada fasiliti, sudah tentu kita juga akan menggantikan tempat-tempat tersebut.

“Begitu juga di Hospital Kuala Lumpur dan hospital yang lain-lain. Seperti yang saya sebut kita tak akan membiarkan operasi-operasi di fasiliti kita terjejas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI