fbpx

Nan tular fasih bahasa Thai, promosi bisnes guna TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAN aktif menghasilkan video di dalam TikTok mengenai produk jualannya.

MESKIPUN sibuk dengan pelbagai aktiviti dan jadual padat di kampus, namun dia tetap berkesempatan mencuri masa untuk melakukan perkara disukai ketika bergelar pelajar.

Itulah yang dilakukan oleh mahasiswa dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini untuk mencari sumber pendapatan sampingan.

Menurut Nurul Hannan Ahmad Uma yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Melaka, dia mula berniaga produk kosmetik sejak dua tahun lalu kerana enggan menyusahkan ibu bapanya di kampung.

Bercerita lanjut, gadis yang mesra disapa Nan itu memberitahu, dia mula menimba pengalaman dalam bisnes sejak zaman sekolah dan minat tersebut masih menebal sehingga saat ini.

“Masa zaman sekolah dulu, saya pernah berniaga coklat dan makanan ringan.

“Saya memang suka berniaga dan minat itu sudah ada sejak kecil lagi. Pada 2021, saya mula berniaga produk kecantikan.

“Pertamanya, saya mahu mendapat pengalaman sambil mencari pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan harian di universiti,” katanya memulakan bicara.

Tambah gadis berusia 22 tahun itu, biarpun begitu, pengajian dan segala tugasan sentiasa menjadi keutamaannya.

“Bagi saya, pengajian adalah keutamaan. Bisnes pula saya buat secara sambilan, saja suka-suka cari wang saku.

“Kita pun tidak tahu sama ada akan mendapat kerja yang bagus atau sebaliknya usai tamat belajar nanti.

“Jadi, bisnes yang dilakukan sekarang boleh jadi satu platform.

“Lagi satu, saya dapat belajar cara urus masa, wang serta kemahiran komunikasi dengan orang,” ujarnya yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia menggunakan platform TikTok untuk berkongsi mengenai produk yang ditawarkan.

NAN yang merupakan penuntut UniKL, Melaka mampu bertutur dengan fasih dalam bahasa Thailand.

Katanya, selain menjual produk kosmetik, dia juga ada berkongsi video-video lain seperti tutorial tudung, kaedah merawat jerawat dan masalah untuk mendekatkan diri dengan penonton serta pelanggan.

“Sejujurnya, bukan setiap hari saya buat video. Saya memilih platform TikTok kerana ia lebih meluas untuk saya jalankan perniagaan.

“Selain promosi bisnes, saya juga selang-seli dengan content (kandungan) lain agar orang tidak bosan,” katanya.

Terdahulu, salah satu videonya tular dalam TikTok menyaksikannya sedang bercakap menggunakan bahasa negeri kelahirannya.

Selang beberapa bulan kemudian, tular sekali lagi videonya yang begitu fasih bercakap dalam bahasa Thailand sambil mempromosikan produk, sekali gus menarik perhatian ramai.

Video kedua itu meraih lebih daripada 1 juta tontonan dan ramai orang dari negara Gajah Putih turut menghantar mesej peribadi (DM) kepadanya untuk berkenalan.

“Ibu saya orang Kelantan, ayah pula asal dari Thailand. Dulu waktu kecil, kami selalu pulang ke Thailand pada hari raya.

“Dari situ, saya mula belajar cakap Thailand. Saya cuba dengar, fahami dan cuba ikut.

“Saya sangat terkejut apabila video saya cakap Thailand dan Kelantan mendapat perhatian ramai.

“Lepas ini mungkin saya akan hasilnya lebih banyak video berkenaan loghat bahasa sebab ramai yang suka,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga boleh bertutur dalam bahasa Arab dan masih lagi belajar untuk menguasainya dan beberapa bahasa asing lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI