fbpx

Mahkamah: Peguam harap pihak pendakwaan pandang serius kes dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraina ketika hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 13 September depan sebagai keputusan representasi yang dikemukakan seorang suri rumah terhadap pertuduhan membuat laporan palsu terhadap sebuah madrasah, tahun lalu.

Majistet Mohamad Reza Azhar Rezali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memaklumkan pihaknya masih sedang meneliti representasi tersebut.

Pada prosiding tersebut, Peguam, Muhammad Izzat Irfan Taib mewakili Zuraina Zamri, 45, memohon pihak pendakwaan memandang serius memandangkan telah memfailkan representasi sejak 20 Januari lalu.

“Kami memohon arahan daripada mahkamah supaya menetapkan tarikh akhir. Jika (pendakwaan) tidak dapat, harap anak guam dilepas tanpa bebas.

“Ini mengambil kira hampir lapan bulan representasi telah dihantar sebelum ini. Ini adalah pengurusan kes (CM) keempat dan anak guam saya datang setiap kali CM. Tidak pernah melarikan diri,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina telah membuat laporan polis palsu pada 21 Ogos lalu di Balai Polis Taman Sri Muda dengan mendakwa sebuah premis merawat dan pemulihan Shah Alam telah mendera anak lelakinya ketika mendapatkan rawatan di pusat itu.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini, Muhammad Izzat menjelaskan berdasarkan laporan perubatan yang telah diterima pembelaan pada hujung tahun lalu, terdapat kecederaan dan trauma daripada pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Pendedahan pemeriksaan itu menunjukkan perbezaan dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan polis bahawa pemeriksaan dibuat di Hospital Shah Alam mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian dera pelatih yang didakwa berlaku di sebuah madrasah di Shah Alam terbongkar selepas sebuah keluarga mahu menghantar kek dan makanan ke pusat berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI