fbpx

Mahkamah: Adik Nicky lepas, bebas tuduhan cukai, AMLATFPUAA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
We Kin ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini

SHAH ALAM – Adik lelaki ahli perniagaan, Nicky Liow Soon dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan yang dihadapinya pada 2017 hingga 2020.

Ini melibatkan cukai pendapatan dan Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Harap 2001 (AMLATFPUAA).

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas tertuduh, Liow Wei Kin, 30, membayar kesemua kompaun kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM4.174 juta.

Sebelum ini, Wei Kin dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Pada prosiding hari ini, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah, kompaun tersebut dibayar dan terdapat resit pembayarannya.

“Ini adalah satu resit (pembayaran) yang mana pertuduhan ini tidak boleh disempurnakan, kena lepas dan dibebaskan kerana permohonan ini tidak boleh dibatalkan.

“Selain itu, turut dimohon agar anak guam saya lepas daripada syarat jaminan dan kesemua wang jaminan dipulangkan,” katanya.

Rajpal menjelaskan, Wei Kin membayar denda sebanyak RM2.197 juta di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan RM1.949 juta untuk AMLATFPUAA.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin.

Justeru itu, kesemua pertuduhan terhadap lelaki tersebut dibatalkan.

“Bagi kes ini satu persetujuan penyelesaian dicapai, tertuduh membuat pembayaran RM4.174 juta kepada kerajaan melalui LHDN.

“Mohon pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan (untuk semua pertuduhan) memandangkan kompaun dibayar,” katanya.

Pada 21 September 2021, Wei Kin didakwa gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan dan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara tidak betul masing-masing di bawah Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 serta penalti khas dua kali ganda daripada amaun cukai yang terkurang bayar.

Lelaki itu juga dituduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil aktiviti haram berjumlah RM779,894.65 di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001.

Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat LHDN Petaling Jaya dekat sini pada tahun 2017 hingga 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI