SAUDARA PENGARANG,
Melawat Cameron Highlands bersama sekumpulan warga emas dari Perlis baru-baru ini benar-benar mengajar saya dan rakan-rakan lain untuk memahami erti kesabaran dan sifat lebih berhati-hati.
Walaupun kami tidak memandu sendiri, malah sekadar penumpang sebuah van pelancongan yang disewa, debaran melalui jalan berbukit yang curam dan berselekoh benar-benar menguji kesabaran.
Di laluan menuju daerah yang terkenal sebagai pusat pelancongan tanah tinggi itu, setiap pemandu perlu lebih peka kerana jalan berkenaan turut digunakan oleh kenderaan berat seperti bas ekspres dan lori.
Selain cabaran jalan berbukit dan berselekoh, banyak juga kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko kerana kekerapan berlakunya kejadian tanah runtuh terutama pada musim hujan.
Sebaik sampai ke destinasi dituju, perasaan gembira dan teruja pasti dirasai, namun ada satu lagi isu yang kerap kali dipersoalkan oleh warga setempat dan para pengunjung.
Isunya adalah soal kesesakan yang perlu ditempuh untuk mengunjungi setiap lokasi menarik yang yang terdapat di Cameron Highlands.
Di sini, ingin saya mengingatkan para pemandu kenderaan agar memandulah secara berhemah dan ingatlah kepada mereka yang tersayang.
Ramli Ismail
Kangar, Perlis