SACRAMENTO, CALIFORNIA – Seorang lelaki di California maut selepas mendaki di tempat paling panas di dunia iaitu Taman Negara Death Valley, di tengah-tengah gelombang haba ekstrem yang melanda Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Steve Curry, 71, rebah selepas berjam-jam melakukan aktiviti tersebut ketika suhu di AS mencecah 53 darjah Celsius pada Ahad minggu lalu.
Pegawai percaya dia meninggal dunia disebabkan gelombang haba, beberapa jam selepas dia ditemu bual oleh akhbar Los Angeles Times yang bertanyakan mengenai pendakiannya ketika suhu panas.
“Mengapa saya bertindak demikian (mendaki)? Mengapa tidak?” jawab Curry ketika disoal oleh pemberita yang menemu bualnya di taman negara tersebut.
Beberapa jam kemudian, dia ditemui rebah di dalam tandas di Golden Canyon sebelum meninggal dunia.
“Curry mahu membuktikan bahawa dia boleh mencapai apa yang dia sentiasa mahu lakukan. Dia mahu pergi ke Death Valley dan mendaki,” kata isteri mendiang, Rima Evans.
Taman Negara yang terletak di sepanjang sempadan negeri California dan Nevada itu dikenali sebagai tempat paling panas di Bumi dan merekodkan suhu terik semasa musim panas. – AGENSI